Pada hari itu, Abu Talib semakin kuat geringnya. Setelah enam bulan berakhirnya pemulauan terhadap Bani Hashim dan Bani al Muthalib, kini Abu Talib terbaring kesakitan menanti tibanya ajal di biliknya.
Nabi s.a.w melangkah masuk ke bilik itu dan mendapati Abu Jahal and Abdullah bin Abi Umayyah turut berada di situ.
Mendekati pak cik yang sekian lama melindunginya dari tangan tangan Quraisy baginda menyeru;
"Wahai Pak Cikku, Katakanlah La ilaha illallah dan aku akan bersaksi untukmu di hadapan Allah"
Serta merta Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah mencelah;
"Abu Talib, adakah engkau akan meninggalkan agama Abdul Muthalib?"
Berlakulah dua seruan berbeza berulang ulang. Rasulullah mengajak Abu Talib kepada Islam manakala pemuka pemuka Quraisy itu mengajak kepada mensyirikkan Allah.
Akhirnya Abu Talib memilih untuk kekal dengan agama Abdul Mutalib, kekal sebagai seorang yang tidak mengimani keesaan Allah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Lantaran itu dalam kesedihan Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Demi Allah, aku akan terus memohon keampunan untukmu sehingga Allah melarangku berbuat demikian".
Setelah itu turunlah ayat 113 Surah at Taubah;
"Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang yang beriman, meminta ampun bagi orang orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang orang musyrik itu adalah ahli neraka".
Disusuli kemudiannya dengan ayat 56 Surah al Qasas;
"Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayah kepada kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah keada sesiapa yang dikehendakinya dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang orang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk kepada Islam".
Diceritakan bahawa Abu Talib adalah orang yang akan menerima azab neraka yang paling ringan.
Daripada Nu'man bin Basyir r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya seringan-ringan siksaan penghuni Neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang diletakkan di bawah telapak kakinya dua bara api neraka sehingga mendidih (dari sebab panas kedua bara api tersebut) otak yang ada di kepalanya. Dia tidak mengira bahawa ada orang lain yang lebih dasyat siksaan daripadanya, padahal dialah orang yang paling ringan siksaannya".
Hadis riwayat Muslim
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Di dalam satu hadis yang lain;
Abu Dzar mengatakan, bahwa Rasulullah saw. Bersabda: “Seseorang datang kepadaku dari Tuhanku membawa berita; “Sesungguhnya, barang siapa diantara umatku yang mati, sedangkan dia tidak mempersekutukan Allah dengan apapun, orang itu masuk surga.” Aku bertanya:”Sekalipun orang itu berzina dan mencuri?” Jawab Nabi,”Ya, sekalipun dia berzina dan mencuri."
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Begitulah bernilainya secebis keimanan. Biarpun seorang yang berkhidmat kepada Rasulullah, melindungi baginda daripada gangguan musyrikin Mekah, Abu Talib tetap kekal menghuni neraka.
Namun bagi mereka yang tetap beriman, tidak menyekutukan Allah, maka dengan rahmatnya Allah tetap mengambilnya dari neraka dan memasukkannya ke dalam syurga dan kekal di dalamnya.
Terlalu banyak contoh contoh lain yang menunjukkan Allah sentiasa mengutamakan orang yang beriman dan sentiasa menawarkan keampunan untuk dosa dosa mereka.
Terlalu banyak contoh Allah membenci kekufuran biar sebaik mana perilaku orang musyrik itu. Hinggakan Abu Talib juga tidak terkecuali.
Jika begitulah penilaian yang digambarkan oleh Allah melalui kitab dan RasulNya, adakah begitu sombong manusia ini mendatangkan penilaian penilaian yang lain antara orang yang beriman dan orang yang kafir?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan