Rabu, 30 September 2009

Ketsana: Antara kemusnahan dan kekuasaan


29 September menjadi pengalaman pertama kami tidak bekerja kerana taufan melanda. Ribut Ketsana yang meragut lebih 100 nyawa di Filipina menuju destinasi landfall seterusnya di Quang Nam yang terletak lebih kurang 50 km dari rumah kami di Quang Ngai.

Pagi itu kami tetap bergerak ke refinery, namun dipertengahan jalan hasrat itu terpaksa dilupakan kerana cuaca buruk dan banyak pokok tumbang. Lalu kami berpatah balik ke Quang Ngai dan dapati air sudah mula naik di tengah-tengah bandar.

Apabila tiba di rumah, kami dapati bekalan elektrik dan air juga telah terputus. Dengan angin dan hujan yang menderu di luar, tidak banyak yang boleh dibuat di rumah. Selepas lunch kebanyakan kami memilih untuk beradu.

Kira-kira jam 3 petang, saya yang kebosanan di rumah mencapai baju hujan dan bersama-sama dengan boss mula melangkah di dalam ribut. Tidak ada apa yang dicari melainkan ingin melihat keadaan sebenar di luar sana. Perkara pertama yang kami lihat adalah keadaan sungai Tra yang mula mencecah benteng keselamatan. Gerai-gerai yang terletak di sebelah bawah benteng hilang di telan arus. Sungai yang selalunya hampir kering sudah menjadi ibarat laut dengan deruan arus yang mengerikan.

Kami terus berjalan melepasi hotel PetroSetco. Kelihatan papan tanda besar hotel sudah terkulai dan dinding kaca penutup bahagian dapur juga sudah tiada. Barangkali sudah berkecai dihempas objek terbang. Kami terus melangkah menuju ke pusat bandar.

Pemandangan pokok tumbang dan zink papan tanda perniagaan menyembah bumi di sana sini. Wayar-wayar letrik dan telefon terputus merintangi jalan. Semakin dekat dengan bandar kami mula meranduk air banjir. Bermula paras buku lali hingga akhirnya ada yang sampai ke peha. Sambil melihat ragam manusia melalui musibah ini, sedar tak sedar kami meredah air sampai lebih 3 km rasanya. Keseluruhan jalan yang biasa kami lalui di pagi hari untuk membeli roti sebelum ke refinery ditenggelami air. Sempat juga kami singgah kedai roti yang ditenggelami air paras lutut untuk dapatkan dua tiga buku roti.

Perjalanan pulang kami lalu jalan yang lain yang turut ditenggelami air. Tiba waktu maghrib (dah hampir 3 jam berjalan) kami berhenti sekejap untuk raikan boss buka puasa. Makan roti yang dibeli tadi. Dengan hari mula gelap, tanpa lampu jalan, kami lebih laju menapak menuju ke rumah yang masih lebih 1 km jauhnya.

Tiba di rumah, baru teringat elektrik tiada tapi terlupa nak beli lilin tadi. Air juga tiada jadi tak dapat mandi selepas main banjir. Tak mengapalah, pengalaman melihat kesan taufan Ketsana ni pun sudah terlalu berharga. Hanya sedikit petanda kekuasaan Yang Maha Esa, cukup untuk mematikan satu bandar dan menjadikan manusia tak keruan. Subahanallah.

1 ulasan: