Dalam diam dan kealpaan manusia, Ramadhan kali ini melangkah ke saat saat akhirnya. Tibalah tempoh generasi para sahabat, tabiin dan yang mencontohi mereka menyibukkan diri dengan munajat kepada Rabbul Jalil.
Tibalah sepuluh malam terakhir yang menjanjikan keagungan malam al-qadr yang lebih baik dari seribu bulan. Malam yang penuh keberkatan yang diburu sekalian hamba yang inginkan keredhaan tuhannya. Sepuluh malam ini menyaksikan cucuran air mata keinsafan, memohon keampunan, melafazkan kerinduan kepada syurga, menangis kerana terbayangkan azabnya. Generasi terbaik ini melaluinya seolah olah lupa kepada dunia dan seisinya.
Malam-malam itu dihiasi dengan alunan al-Quran, malam-malam itu dihidupkan dengan solat malam dan iktikaf, lidah-lidah basah dengan zikirullah dan tidak kurang murahnya tangan-tangan yang menghulur infaq dan zakat fi sabilillah.
Tempoh akhir itu bapa-bapa mengejutkan ibu-ibu dan anak anak, atau mungkin ibu-ibu yang mengejutkan bapa-bapa. Ibu bapa menunjukkan contoh kepada anak-anak dalam menghidupkan hujung ramadhan dengan solat, tilawah dan munajat kepada Allah. Ibu bapa ini akan melatih anak-anak bangun menghidupkan malam dengan mereka sebagai qudwah. Lalu pada setiap Ramadhan anak-anak ini mendapat latihan yang serupa sehingga menjadi darah daging apabila dewasa....
Lalu ku lihat sekeliling
- Masjid yg kian lenggang di hujung Ramadhan
- Al-Quran semakin kurang dibaca kerana sibuk
- Entah berapa ramai yang membaca al-Quran
- Di mana ibu bapa yang mengejutkan anak-anak untuk berqiamullail
- Di mana qudwah ibu bapa dalam menghidupkan Ramadhan
Betapa besarnya tanggungjawab untuk mengembalikan umat ini kepada asalnya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan