Saya membesar dalam keluarga yang tidak senang dan tidak juga susah. Tidak senang kerana memang tidak senang. Tidak susah kerana penat dan lelah kedua orang tua yang cuba sedayanya mencukupkan kehidupan anak-anak.
Bila dikenangkan zaman kanak-kanak, saya dapat lihat betapa banyak peristiwa ibu dan bapa cuba mengubah kehidupan. Mereka pernah buka restoran. Rasanya lebih sedekad bertahan. Kemudian ditutup. Kemudian ibu saya buka gerai nasi lemak semenjak saya sekolah rendah. Bapa saya pula memilih bekerja sendiri dan pada satu ketika menjadi imam masjid yang bergaji. Di samping itu, ada juga beliau mengajar agama di masjid dan sekolah-sekolah.
Alhamdulillah dengan berkat rezeki yang diusahakan mereka saya tamatkan sekolah rendah. Dan dengan sumber rezeki yang sama saya tamatkan sekolah menengah di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.
Saya masih ingat, ada masanya ibu akan pergi ke kedai pajak gadai untuk memajak gelang atau yang lain untuk mendapatkan wang bila keadaan menekan. Ada masanya dia akan pergi menebus kembali barang kemasnya. Ketika itu saya tidak faham tapi apabila telah dewasa baru saya mengerti mengapa dia berulang alik ke kedai pajak.
Apabila di sekolah menengah, saya cuba untuk tidak meminta wang daripada keduanya kerana yuran sekolah sahaja sudah beratus ringgit sepenggal. Yuran biasanya diberikan kepada saya untuk bayar cash pada sekolah. Kerana bimbang hilang, biasanya ibu menjahit bahagian dalam poket seluar saya supaya confirm tidak tercicir atau dicuri. Begitu tingginya nilai wang itu pada mereka. Pernah satu ketika mereka berasa hairan mengapa saya tidak meminta wang. Sehingga berkata," Kalau nak duit minta lah, jangan risaukan mak abah, pandailah kami cari duit".
Mereka terus bekerja keras sehinggalah semua anak-anak tamat pengajian dan kini walaupun semua telah pun berkahwin, mereka masih 'menjaga' kami seperti dulu. Apa sahaja dilakukan demi anak-anak dan cucu-cucu. Apa sahaja nak semua dicurahkan memandangkan kehidupan sudah lebih mudah daripada dulu. Apa yang mungkin menghalang mereka adalah kesihatan yang semakin merosot. Maklumlah umur pun dah mencecah 70 tahun.
Di usia lanjut ini, bukanlah wang ringgit yang mereka inginkan. Setiap kali dihulur pasti ditolak atau diterima setelah dipaksa. Lantas cara terbaik adalah..bank in kan saja dalam akaun mereka. Apa yang mereka perlukan (walaupun tidak pernah dilafazkan) adalah kehadiran dan hubungan kasih sayang daripada anak-anak yang dahulunya mereka bersusah payah membesarkan... biarpun sekadar panggilan telefon seminggu sekali...
p/s: baru lepas telefon, saya hanya bercakap dua tiga ayat sahaja, yang lain semua cerita ibu tentang keadaan diri dan kampung dan saya hanya mendengar... semoga Allah merahmatimu seperti mana engkau mengasihiku dari dulu kini dan selamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan