Sabtu, 22 Ogos 2009

Terbitnya hilal Ramadhan di Quang Ngai

Alhamdulillah selesai hari pertama Ramadhan di Quang Ngai. Satu hari suntuk cuma duduk dirumah, kebetulan hari ni off sebagai ganti bekerja Ahad lepas. Alhamdulillah sebentar tadi juga kami selesai berterawih bersama. Setidak-tidaknya di bumi Quang Ngai yang asing ini ada juga hamba-hamba Allah yang melabuhkan dahi merendah diri terhadapNya walaupun badan berasa sangat letih.

Pastinya hari hari mendatang menjanjikan dugaan Ramadhan yang baru bagi setiap kami di sini. Paling tidak harus bersedia menjelaskan kepada masyarakat yang tidak Islam mengenai ibadah puasa. Mengapa kami berpuasa? Mengapa dari subuh sampai maghrib? Mengapa tidak boleh hisap rokok?

Pasti lebih mencabar adalah mereka yang bekerja di terik matahari Vietnam di dalam loji. Dugaan untuk kekal bertenaga sampai ke petang. Kita tentunya tidak mahu puasa dijadikan alasan prestasi kerja menurun. Kita juga tidak mahu mereka melihat umat Islam menjadi malas dan lemah sebab berpuasa. Bersabarlah wahai sahabatku.

Apa jua keadaan yang penting kita pergunakan kesempatan Ramadhan yang ada untuk melipatgandakan amalan, bukan hanya sekadar berpuasa. Adakah bertambah bilangan muka surat al-Quran yang kita baca? Adakah bertambah bilangan rakaat solat malam kita? Adakah lebih ringan lidah kita beristighfar? Adakah bertambah kesabaran atau barangkali menjadi lebih kurang sabar? Jangan kerana letih berpuasa kita jadikan alasan untuk amalan lain berkurang.

Selamat datang wahai Ramadhan, tidak kira di mana kami berada, engkau tetap diraikan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan